Refleksi.

Jamil berdiri melihat cermin. Dan dia nampak teman wanitanya, Nina. Sedang berdiri menghadapnya. Jamil dan Nina memandang ke dalam mata masing-masing. Meneroka setiap inci urat-urat, melihat laju darah mengalir, memerhati bakteria tidak sihat, dan berenang menelusuri perasaan satu sama lain. Jamil mengangkat tangannya perlahan dan melekatkan telapak tangannya di cermin, rapat. Nina menggelengkan kepalanya, "I'm not the one for you. Sorry." Dan Nina berlalu pergi.

Kini, hanya tinggal Jamil dan refleksi dirinya sendiri.

Jika.

Jika rindu itu adalah duit, sudah tentu sekarang aku mampu memiliki sebuah kereta Bugatti Veyron, sebuah Ducati Monster, dan sebuah rumah yang mempunyai 15 bilik tidur.

Malam Itu.

Malam itu, Sidek mengeluarkan otak dan hatinya dan di masukkan ke dalam peti ais. Kemudian Sidek kembali baring. Memerhati bintang-bintang di luar tingkap, merasai angin yang memakan tubuhnya, tenang. Sidek tidak mahu malam itu berakhir. Sidek memejamkan matanya. Dan membiarkan keindahan itu memeluk erat setiap inci tubuhnya...

#nowplaying Sigur Rós - Valtari.

Ini Kisah Ahmad.

Pagi yang segar buat Ahmad untuk meneruskan rutin hidupnya seperti biasa. Bangun dari tidur, mandi, sarung kameja putih dari butik G2000, menyikat rambut rapi menggunakan pomade buatan tempatan, dan menyembur minyak wangi jantan yang akan membuat para gadis bernafsu jika membaunya. Jalan pergi ke dapur untuk membancuh nescafe panas. Selesai membuat nescafe, Ahmad berjalan menuju ke ruang tamu. Melihat ke luar tingkap apartment-nya dan menarik nafas segar seolah-olah Malaysia masih aman. Bibirnya mencium lembut mug Starbucks berwarna putih berlogo hijau dan menyedut perlahan air di dalamnya. Matahari memerah cahaya yang bersinar sihat, sekumpulan burung sibuk menanyi, dan daun daun kering gugur di jalanan.

Selesai minum, Ahmad menyarungkan kasut dan mengunci pintu rumahnya. Entah kenapa hari ini Ahmad rasa bahagia dari hari-hari sebelumnya. Senyuman terukir pada wajah Ahmad seolah-olah malam tadi dia berikan yang terbaik untuk pelacur Amerika yang berharga RM550.

Sesampainya dia di bawah apartment, keluar sahaja dari banggunan kediamannya itu, setitis air yang jatuh entah dari mana membasahi bahu kiri kameja putih G2000 Ahmad. Ahmad mendongak ke atas dan matanya mengecil akibat cahaya matahari yang memancar, "air apa ni?" Suara hati Ahmad bertanya. "Ahh lantak lah." Sambil menggosok manja bahu kiri kameja putih G2000 miliknya, Ahmad teruskan berjalan. Sepuluh, sebelas tapak dari tempat kejadian awal tadi, titisan kedua pula membasahi kepala Ahmad. Ahmad mendongak ke atas, dan ada sebentuk awan mendung kecil di atas kepalanya.

"Siapa kau? Kenapa kau menangis? Kenapa kau mengekori aku?" Tanya Ahmad. "Aku adalah perasaan kau." Jawab pendek si awan mendung kecil di atas kepalanya. Ahmad terdiam. Sekumpulan tanda tanya berlegar-legar dalam otaknya. Si awan mendung kecil di atas kepalanya berkata lagi, "Jangan tipu diri sendiri, Ahmad. Jangan mengukir senyuman tatkala hati kau menangis. Jangan khabarkan pada semua yang kau bahagia seperti tidak ada apa berlaku tetapi dalam kau rosak teruk."

Ahmad terdiam sesaat dua.

"Ahh, kau cuma awan mendung kecil yang hanya tahu menangis, meratap benda yang dah hilang, memberi harapan palsu kepada aku dan merosakkan dalaman aku je. Aku tak perlukan kau lagi. Nyah kau dari sini!" "Tapi..." Belum sempat si awan mendung kecil menghabiskan patah perkataannya, Ahmad memotong, "BLAH!! BERAMBUS!!" Lalu si awan mendung kecil yang berada di atas kepala Ahmad pun redha dan berlalu pergi.

Ahmad membetulkan kameja putih G2000 miliknya, merapikan rambut, senyum kembali dan meneruskan hari bahagia yang sebelum ini hilang entah kemana.