Dia Melihat Aku.

dia melihat aku
dari depan sana
latarbelakangnya
ialah taman permainan
dimana penuh kanak-kanak sedang bergolek
dari atas bukit
jatuh ke landasan
dan bergelak-ketawa.

dia melihat aku
dari depan sana
aku perasan
matanya tidak berkelip
itu yang aku perasan
yang tidak
aku simpankan saja
dalam kocek.

dia melihat aku
dari depan sana
mengulum lolipop vanilla aku rasa
lentuk bibirnya lancar menari
menjilat-jilat kepala lolipop
sehingga ia kecut
hilang perasa.

dia melihat aku
dari depan sana
dan aku
melihat kasut tumit tingginya
dengan rasa pegun.

tujuh minit berlalu
aku menyusur pergi
membiarkan keghairahannya
peluk bersama.

Bulan Ini.

bulan ini
banyak aku lihat
hati-hati yang bertaburan
dijalan-jalan utama
dilorong-lorong sampah kota
bergelimpangan tidak terkira
berulat dan naik baunya
dan
otak aku mula menaip
apakah manusia pada setiap pagi aku
adalah manusia-manusia yang tidak punyai hati atau rasa?

Ketuk.

nampaknya
masih ada sesuatu
yang aku tidak tahu
apa cacatnya aku
dari sudut pandang mata mu.

ini besi penukul
tolong ketukkan
apa yang kemek
dan comot, sayang.

Malam Tadi.

malam tadi
ya, malam tadi
aku pejamkan mata
dan membiarkan roh ku ditelan
oleh kebangkitan hantu mu.

Raya.

kepada hati hati yang telah dicemari
lontaran kata yang tak disedari
jari ini aku susun ampun
dan
maaf
dari hujung rambut
hingga hujung kaki
ikhlas dari hati.

selamat hari raya aidilfitri.

Kepuasan.

Sebenarnya, pasti ada sebab yang membuatkan kau berlegar tanpa arah dan memekik melolong dengan kata-kata kosong dan membohong dengan tujuan menjatuhkan seseorang individu itu menggunakan pengikut setia kau yang sedang nyenyak bermimpi bersama sepuluh yang lain mengatakan kau itulah dewa mereka. Ya, dewa yang sedang meraba-raba sesuatu mencari ukiran yang diukir oleh individu kedua yang sekarang ini sedang mengawal seratus peratus nikmat tubuh kau. Dan ya, selama ini yang kau cari tapi sehingga kini masih lagi tercari-cari ialah, kepuasan.

Peluk Tubuh.

kau berdiri dalam kekecewaan
kau mengukir halus liuk lentuknya
kau sedar ini mimpi yang sedang berpeluk tubuh
tapi kau abaikan
kau himpunkan seketul air liur warnanya hijau
dan kau campakkan
kerana ego yang sedang kuat beradu asmara
membuatkan kau yang berada di dalam satu jasad
terbahagi dua
dengan berlainan personaliti dan hasrat.